Monthly Archives: October 2019

‘Terengganu Pay’ Mudahkan Pembayaran Bil

Category : Berita

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kerajaan negeri bakal memperkenalkan satu lagi inovasi baharu iaitu ‘Terengganu Pay’ bertujuan memudahkan rakyat membuat pembayaran bil-bil kerajaan melalui satu transaksi sahaja. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata langkah itu selaras dengan konsep pembangunan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 untuk maksimumkan perkhidmatan sistem penyampaian yang responsif dan pantas melalui kerajaan digital bagi memenuhi kehendak rakyat.

Selain itu, ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan dalam menggalakan penjawat awam menyumbang idea bagi penciptaan inovasi-inovasi ICT baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan.
Katanya, penghasilan inovasi ICT yang cekap dan berkesan memerlukan sumber data yang baik dan tepat. 

“Kekurangan maklumat yang tepat akan memberi kesan yang besar dalam usaha kerajaan mengatur pengurusan pentadbiran harian.

“Data-data yang diperolehi ini, diolah bagi menghasilkan program yang bersifat bijaksana dalam memudahkan pengururusan pentabiran seperti pengurusan agihan bantuan, pencegahan bencana, carian lokasi-lokasi latihan, bilangan fasiliti yang disediakan dan sebagainya,”katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah menjalankan beberapa perubahan dalam usaha menambahbaik proses pengurusan agihan bantuan kepada rakyat supaya lebih telus. 

“Rentetan daripada itu, pelbagai program bantuan telah berjaya dilaksanakan seperti permohonan lesen motosikal percuma, bantuan subsidi air dan bantuan dana perayaan,”katanya.

Sumber : teganukite.net


Terengganu tandatangani MoU laksana projek Smart ICT

Category : Berita

KUALA TERENGGANU: Top IT Industries Sdn Bhd (Top IT), syarikat milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Reality Venture Sdn Bhd dan Kreatif Apps Sdn Bhd.

MoU itu bertujuan menjalin kerjasama strategik untuk melaksanakan projek perkhidmatan Smart ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi Pintar) dan prasarana digital untuk Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Bestari.Com.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata, menerusi MoU berkenaan, Top IT dan rakan strategik bersetuju untuk bekerjasama melalui empat komponen utama.

“Ia merangkumi PINTAR Connect, PINTAR Secure, PINTAR Health dan PINTAR Education yang juga tunjang kepada pembangunan ICT pada masa kini bagi menyediakan perkhidmatan digital yang berkesan kepada penduduk negeri ini.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai bandar bijak sebagaimana di luar negara dan memaksimumkan pendigitalan di Terengganu,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di sini.

Top IT diwakili Pengerusinya, Zakaria Dagang, manakala Reality Venture Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali serta Kreatif Apps Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adi Yazid Rosli.

Ariffin berkata, menerusi kerjasama itu juga, rakan strategik akan membangunkan aplikasi mobil untuk PINTAR Connect, PINTAR Secure, PINTAR Health dan PINTAR Education yang dijangka bermula tahun depan.

Katanya, PINTAR Connect akan menyediakan platform untuk komunikasi dan kolaborasi kepada badan yang terbabit dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Platform ini menggunakan teknologi Microsoft untuk membolehkan kerajaan menyampaikan maklumat dan pengumuman kepada rakyat secara interaktif, manakala rakyat pula boleh memberi pandangan dan komen secara langsung kepada kerajaan.

“PINTAR Secure akan mengkaji penyediaan platform untuk memerhati tahap keselamatan di tempat strategik Terengganu. Ia menggunakan teknologi Huawei yang berjaya dilaksanakan di lebih 160 bandar di seluruh dunia seperti Jerman dan Afrika Selatan.

“PINTAR Health pula menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan menggunakan teknologi kepintaran buatan. Platform ini menyediakan khidmat saringan penyakit, menjual ubatan secara atas talian dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, PINTAR Education pula akan menyediakan platform untuk pembelajaran nahu dan sharaf dalam al-Quran secara atas talian dan ia diharap dapat dimanfaatkan dan memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya.